Make your own free website on Tripod.com
Home | ATHEIS | LAWATAN KE MUZIUM | AHLI-AHLI JAWATANKUASA | NUKILAN I | NUKILAN III | NUKILAN II | Nota sastera

KELAB BAHASA, BUDAYA DAN SASTERA MELAYU SMS0

Rancana

RUMAH PANJANG MENDALAM BESAR SATU TINJUAN

 

SEKAPUR SIRIH

 BISMILLAHIR RAHMANIR RAHIM

ASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH

             Terlebih dahulu kami panjatkan syukur ke hadrat Allah S.W.T, selawat serta salam ke atas junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W, kaum keluarga dan sahabat-sahabat baginda yang taat setia lagi jujur hingga ke akhir hayat.

             Kami bersyukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah rahmat, taufiq dan hidayatnya jua maka kami dapat menyelesaikan LAPORAN LAWATAN SAMBIL BELAJAR KE KAMPONG MENDARAM BESAR. Sesungguhnya kejayaan ini bukanlah atas usaha dan ikhtiar kami semata-mata, tetapi ia adalah juga hasil tunjuk ajar dan buah fikiran cikgu, kawan-kawan dan keluarga. Tanpa bantuan, tunjuk ajar, bimbingan, buah fikiran dan kerjasama yang mereka berikan, agak sukar rasanya bagi kami untuk menyelesaikan kertas kerja ini sehingga menjadi sepertimana yang diharapkan.

             Di kesempatan ini, kami berharap laporan yang kami selesaikan ini dapat memuaskan hati semua pihak. Kami mengakuinya bahawa banyak kesalahan dan kekurangan yang terjadi tanpa disengajakan dan akhir sekali, kami mohon maaf dan bersedia untuk menerima tunjuk ajar atau bimbingan. Diharap dapat mempertimbangkan.

             Sebelum mengakhiri sekapur sirih ini, kami bertiga dengan seikhlas hati ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan terima kasih kepada pihak sekolah terutama sekali KELAB BAHASA, KEBUDAYAAN & KESUSASTERAAN MELAYU kerana menjayakan lawatan sambil belajar ke Kampong Mendaram Besar. Lawatan ini sangat berharga dan memberi kami pengetahuan yang baru.

             SEKIAN, TERIMA KASIH.

WABILLAHI TAUFIQ WALHIDAYAH WASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKATUH.

Ikhlas daripada,

NURHAMIZAH BINTI HAJI HAMAFFI ( U6-3 ).

NUR FAIZAH BINTI ABDUL LATIF ( U6-3).

SITI MARHANINAH BINTI HAJI GHANI ( L6-4 ).

TAHUN 2004


TUJUAN MELAWAT

          Lawatan bagi penuntut menengah 6 atas dan menengah 6 bawah adalah untuk membuat peninjauan bagi penuntut bahasa Melayu bagi mengetahui lebih lanjut lagi tentang kehidupan bangsa Melayu iaitu puak Iban. Tentang kehidupan seharian, sejarah, pantang larang dan bagaimana perkembangan puak mereka di kalangan bangsa Melayu di Negara Brunei Darussalam ini.

SKOP KAJIAN

          Dalam kajian tentang pantang larang, hanya 3 orang saja ditugaskan atau dipertanggungjawabkan bagi melaksanakan kajian tentang skop ini. Dalam kumpulan kami Nurhamizah diberi tugas sebagai ketua kumpulan, Nur Faizah pula sebagai penolong ketua dan Siti Marhaninah sebagai penolong kedua.

Ia adalah sangat berguna bagi semua pihak untuk mengetahui tentang pantang larang sesebuah puak itu bagi kesenangan dan ketenteraman semua agar tidak melanggar peraturan kehidupan bangsa yang lain.


KAEDAH TEMU RAMAH

          Soalan demi soalan telah diajukan oleh para penuntut yang membuat kajian ini. Kaset rakaman dipasangkan ketika Awang Berundi Anak Jamau ( ketua rumah panjang )memberitahu dan menerangkan serba sedikit tentang pantang larang yang ada pada adat mereka. Begitu juga tidak ada video rakaman bagi temu ramah beliau cuma mulut sahaja kaedahnya.


MASALAH-MASALAH YANG KAMU HADAPI (SUASANA)

          Dalam masa menemu ramah, kami juga mempunyai beberapa kesulitan yang mungkin dapat diperbaiki lagi. Seperti tidak ada barang atau peralatan atau kegunaan alat bagi menyempurnakan adat pantang larang mereka dipertunjukkan kepada kami kerana ia adalah sangat memudaratkan semua pihak. Hanya sedikit pengetahuan yang dapat kami perolehi kerana mereka masih berahsia untuk menceritakan lebih lanjut tentang pantang larang mereka. Awang Berundi bersusah payah untuk mengungkapkan kerana adat pantang larang mereka ini terlalu terperinci.

Selain daripada itu kesukaran yang kami alami ketika itu, anak-anak kecil yang ada di rumah panjang berlarian dan bermain riang hingga menyebabkan kami tidak dapat mendengar dengan jelas penerangan yang diberikan. Mungkin anak-anak kecil itu gembira menyambut kedatangan tetamu yang jarang sekali bertandang ke rumah panjang tersebut

DEFINISI : KAJIAN PANTANG LARANG

Pantang larang adalah peraturan larangan bagi sesebuah kehidupan bangsa itu. Ia adalah sangat berguna bagi sama-sama menjaga adat dan ketenteraman hidup.

Pantang larang juga dapat memberi jaminan keselamatan bagi individu. Ia adalah ibarat penjaga diri iaitu ilmu dibadan sendiri dan semua pihak.

HURAIAN KAJIAN PANTANG LARANG

          Semasa dalam waktu temu ramah dengan ketua rumah panjang, salah seorang daripada kumpulan kami iaitu Siti Marhaninah telah mengajukan soalan tentang pantang larang mereka.

          Awang Berundi pun menceritakan tentang pantang larang yang masih digunakan pada masa ini. Salah satu antaranya ialah mengenai adat tolak bala. Di mana jika seseorang itu hendak menolak bala mereka tidak dibenarkan tinggal di rumah panjang sebaliknya disediakan sebuah pondok di luar untuknya tinggal selama satu atau tiga hari. Dan juga sesiapa yang berada di dalam rumah tidak dibenarkan keluar bilik selama tiga hari.

          Seperti juga puak-puak yang lain, masing-masing ada pelbagai cara untuk menyempurnakan kematian yang berlainan. Jika seseorang mati di dalam rumah,bagi puak Iban di sini pantang larangnya tidak ada cuma keluarga si mati menyediakan botol diisi dengan air dan diletakkan dihadapan setiap pintu bilik rumah panjang bersertakan kayu api. Sebaliknya jika seseorang itu mati dari luar rumah panjang contoh dari hospital, keluarga si mati mesti memotong babi atau dua ekor ayam sebelum mayat itu dibawa naik ke rumah panjang. Kemudian dalam masa sebulan orang-orang yang tinggal dalam rumah panjang tidak dibenarkan memakai barang kemas dan hendaklah disimpan dalam kain putih.

          Jika diperhatikan dalam pantang larang mereka semuanya mempunyai simbolik/sebab atau kepercayaan tersendiri. Dalam pantang larang pertama di mana upacara tolak bala diadakan di mana seseorang itu tidak dibenarkan masuk ke rumah panjang. Ini mungkin kerana penghuni rumah panjang ingin mengelakkan dari terkena bala.

          Selain simbolik atau kepercayaan di atas, dalam pantang larang bagi menyempurnakan kematian juga ada. Simbolik/sebabnya dapat dilihat ketika keluarga si mati meletakkan botol berisi air dan juga kayu api. Mereka meletakkan botol air kerana ia adalah sumber yang diperlukan dalam hidup mereka seharian. Kayu api pula juga menjadi sumber kehidupan seharian mereka sebagai bahan pembakar untuk memasak. Akhir sekali, barang kemas disimpan dalam kain putih kerana bagi menghormati keluarga si mati dan sama-sama merasakan kehilangan seorang ahli kaum mereka sendiri.

          Begitulah hidup kita manusia, mungkin tidak lengkap rutin seharian kita tanpa ada pantang larang. Akan tetapi pantang larang tersebut akan dinilai mengikut citarasa seseorang individu. Ada sesetengahnya mengatakan pantang larang hanyalah benda karut dan sebaliknya bagi mereka yang menerima pantang larang tersebut, akan menggunakan akal fikiran ataupun mengikut kepercayaan seseorang itu

CADANGAN DAN SARANAN

           Kami lebih berbesar hati jikalau mereka dapat menunjukkan serba sedikit alat-alat kelengkapan tersebut jika ada terdapat disimpanan individu itu sendiri bagi mengerjakan pantang larang ini agar semua pihak tahu dan tidak salah gunakan alat-alat kelengkapan tersebut, terutama bagi bangsa atau puak lain.

          Begitu juga, anak-anak kecil yang girang agar dapat dikawal oleh ahli keluarga bagi memudahkan semua pihak. Walaubagaimanapun, kami sangat menghargai kegirangan yang terpancar di wajah anak-anak kecil ketika kami datang ke rumah panjang tersebut.


PENUTUP LAPORAN PERJALANAN.

          Pada 30 Mei 2004, bersamaan dengan 10 Rabiulakhir 1425H, Kelab Bahasa, Kebudayaan dan Kesusasteraan Melayu Sekolah Menengah Sayyidina ‘Othman Tutong telah mengadakan lawatan sambil belajar ke Rumah Panjang Kampong Mendaram Besar,Labi Ulu Belait. Lawatan ini disertai oleh penuntut dari menengah 6 bawah dan 6 atas dan diketuai oleh Cikgu Zini bin Haji Abd Hamid bersama 4 orang lagi guru pengawas. Lebih kurang 50 orang penuntut menyertai lawatan sambil belajar ini. Kenderaan bas telah disediakan oleh pihak sekolah sebanyak tiga buah bas kecil yang memuatkan 22 orang penumpang.

          Pada hari tersebut, semua penuntut dikehendaki melaporkan diri sebelum pukul lapan pagi. Pada waktu ini, kami telah diagihkan dengan tugas masing-masing. Sebelum bertolak untuk memberkati perjalanan kami, Haji Embrey bin Haji Mahmud seorang penuntut dari menengah 6 atas telah membaca doa.

          Dalam perjalanan selama satu setengah jam itu, kami dapat menikmati pandangan yang sangat indah disekeliling Kampong Labi Kuala Belait. Walaupun destinasi kami ini jauh dari bandar Kuala Belait namun penduduk Mukim Labi tidak ketinggalan untuk merasai perkhidmatan kerajaan seperti Pusat Perubatan, Balai Bomba, Balai Polis dan juga Jabatan Radio dan Televisyen. Jambatan Besi yang dibina oleh Syarikat Minyak Shell Seria ( BSP ) turut dilintasi kami. Kegunaan jambatan ini adalah bagi mencegah banjir melanda dan kegunaan bagi sampan untuk naik ke jambatan pada satu masa ketika dulu.

          Tepat pukul 9.30 pagi, rombongan kami pun sampai ke destinasi yang dituju. Kedatangan kami disambut oleh ketua rumah panjang, Awang Berundi Anak Jamau bersama beberapa ahli keluarga penghuni rumah panjang tersebut. Tidak ramai ahli penghuni rumah panjang tersebut yang ada pada masa itu, kerana pergi keluar ke bandar untuk membeli keperluan barang bagi persediaan ‘Hari Gawai’ keesokkan harinya.

          Setelah masuk ke rumah panjang, kami dipelawa duduk di ruang tamu sebagai ‘Ruwai’ iaitu seperti previlion room yang panjangnya lebih kurang 5 km panjang. Beliau memulakan aturcara dengan ucapan penghargaan serta terima kasih atas kesudian kami untuk mengunjungi ke tempat mereka. Di sini, beliau mengatakan bahawa kami bukanlah rombongan yang pertama melawat ke tempat itu. Mereka juga pernah menerima kunjungan dari pelawat dari luar negara seperti Jepun dan Taiwan. Begitu juga, mahasiswa dan mahasiswi Universiti Brunei Darussalam ( UBD ) dan juga dari sekolah-sekolah lain. Selepas kata-kata aluan dan pengenalan mengenai keadaan rumah panjang, diikuti pelbagai soalan-soalan yang diajukan oleh penuntut mengenai sejarah alat-alat tradisi puak Iban, cara perubatan, kehidupan mereka dan pantang larang yang ada dalam adat mereka.

          Kemudian selesai aturcara temu ramah, kami diberi peluang untuk masuk ke dalam salah satu bilik rumah panjang tersebut. Apa yang sangat mengkagumkan kami, setelah masuk ia adalah seperti satu rumah mempunyai ruang tamu, ruang makan, dapur, pantaran dan juga tangga untuk naik keatas yang dijadikan stor. Tidak dapat dinafikan selain bekalan api elektrik dan juga bekalan air yang disediakan oleh pihak kerajaan, penghuni rumah panjang juga tidak ketinggalan menikmati hiburan melalui kecanggihan dan teknologi maklumat seperti ICT dan juga Astro. Selepas membuat tinjauan tersebut, kami diperlihatkan dengan hasil kraftangan yang telah siap dibuat dan juga untuk dijual seperti tikar mengkuang.

          Kajian kami tentang kehidupan puak Iban di rumah panjang Kampong Mendaram Besar, berakhir dengan menyerahkan cenderahati dari pihak sekolah untuk penghuni rumah panjang tersebut dan bergambar ramai.

          Destinasi seterusnya ialah ke ‘Wasai Wong Kadir’ yang mengambil masa selama 15 minit dari rumah panjang. Sampai saja di Wasai, kami menjamu selera yang telah disediakan oleh pihak sekolah. Setelah itu kami bermandi-manda, bersantai sambil bergambar dan sebagainya.

          Seperti dalam program, Luagan Lalak adalah perjalanan kami yang seterusnya. Kami sampai di sana lebih kurang pukul 3 petang. Di sana kami beristirihat ditempat yang disediakan sambil menceritakan lagenda tentang luagan itu. Menurut Cikgu Zini, tempat itu sebenarnya adalah satu kawasan anak sungai. Kemudian dikatakan ada seekor ikan dalak yang besar telah berenang ke anak sungai itu lalu menyebabkan airnya melimpah hingga menyebabkan kawasan itu menjadi satu luagan. Sebab itulah kawasan itu dinamakan Luagan Lalak. Di sini juga merupakan tempat para pengkaji melakukan kajian alam kerana dari jauh kami nampak sebuah menara seperti rumah didirikan tinggi di atas pokok. Luagan ini juga dikatakan banyak buaya. Sebelum balik, suasana menjadi riuh rendah bila kami terserempak dengan seekor anak buaya yang timbul di atas permukaan air.

          Tanpa dirancang dalam program kami,perjalanan diteruskan ke Taman Reakrasi Sungai Liang. Lagipula masa yang ada masih panjang bagi kami untuk pergi ke sana. Meskipun tempat itu masih dalam pembaikkan, ia tetap menarik perhatian orang ramai. Dalam masa 45 minit kami berada disana, sempat lagi kami beriadah bersama cikgu. Di sana juga, kami terserempak dengan seekor kalajengking yang besar. Kami juga mengambil gambar beramai-ramai untuk dijadikan kenangan. Tepat pukul lima petang kami tiba di sekolah dan menunggu ibubapa untuk kami menjemput pulang.

          Melalui pengalaman lawatan sambil belajar ke rumah panjang dan ke taman reakreasi kami telah mendapat banyak maklumat untuk kajian dan pengetahuan. Tambahan lagi kebanyakkan kami tidak pernah memasuki rumah panjang dan tidak mengetahui di mana leltaknya Kampong Mendaram Besar dengan adanya lawatan ini yang dianjurkan dapatlah kami membezakan diantara kebudayaan, ugama, adat perkahwinan puak Iban dan sebagainya dengan kebudayaan dan adat perkahwinan bangsa kami. Di harap lawatan sambil belajar ini dapat diteruskan lagi tetapi pada puak yang lain pula ( Murut, Kedayan, Dusun, Tutong dan Bisaya ) di masa yang akan datang.

Enter supporting content here